aku harap dalam syurga ada kedai mamak
aku harap dalam syurga ada kedai mamak
ada ayam, ada kerak
tengah malam ada bolasepak
ada yang bercerita, ada yang bersorak
panas teh tarik memeluk tekak
tetap kering mulut tergelak
aku harap nafas akhirku macam
bonceng motor tengah malam
dalam fikiran cuma ada nasi goreng ayam
dalam lautan angin nanti aku mahu selam
lampu jalan seperti bintang semakin kelam
aku tahu kawan-kawanku menunggu tanpa diam
tiada satu pun yang tak mahu aku salam
aku harap dosaku senipis roti canai
diuli ditebar sampai tiada dilihat nilai
terurai dalam kari secair sungai
biar nikmat ini aku kongsi dengan handai
biar mereka aku cuba gapai
biar syurga itu aku belai
aku harap mati nanti sehangat minuman
dipeluk cawan, dikirim ciuman
topi, hoodie, botak atau serban
aku harap meja aku penuh kawan-kawan
keluarga, sahabat, teman, taulan
aku harap dikurnia kemaafan
aku harap dihantar dalam pelukan
aku harap diceritakan tentangku persahabatan
tentang yang baik-baik dan teladan
aku harap diredhai kesudahan
aku harap hadir disambut tuhan